Topik perbezaan sekte atau sektarianisme bukanlah sebuah topik yang baru saya ketahui. Saya dilahirkan dalam keluarga yang mengikuti tradisi Melayu dan juga agama Islam bermazhab Syiah di Singapura. Sebelum perkahwinan mereka, ibu bapa saya mengikut ajaran Sunni tetapi apabila mereka lebih dewasa, mereka beralih memeluk Mazhab Jaafari, iaitu mazhab dominan dalam fahaman Syiah. Walaupun kami bermazhab Syiah, ibu bapa saya telah menghantar saya ke sebuah madrasah yang beraliran Sunni untuk menerima pendidikan agama, selain daripada kelas-kelas mingguan yang berfahaman Syiah.
Dari sudut pandangan seorang anak kecil, perbezaan sektarian itu hanya terhad kepada sekatan pemakanan, seperti mengelak daripada memakan kerang, sotong dan ketam. Saya mempunyai seorang teman rapat yang bermazhab Sunni yang akan mempertahankan saya apabila saya dipersoal tentang mengapa saya tidak makan semua itu. Pada usia 10 tahun, saya pernah berkongsi dengan seorang rakan sekolah yang berbangsa Cina bahawa terdapat dua aliran dominan dalam Islam. Tetapi, seorang rakan Muslim telah merespon dengan mengatakan bahawa itu salah dan sektarianisme dalam Islam itu sememangnya tidak wujud. Ini merupakan titik permulaan kesedaran saya bahawa pemahaman tentang perbezaan aliran atau mazhab di kalangan umat Islam di Singapura itu sangat dangkal. Saya juga mula peka terhadap ketegangan antara mazhab menerusi prejudis yang dialami oleh teman-teman Syiah saya apabila mereka bersembahyang di masjid. Secara ringkas, identiti saya sebagai seorang minoriti dalam masyarakat Islam tempatan telah memberikan saya kelebihan dalam menyedari lebih awal tentang isu perbezaan mazhab ini.
Semasa menuntut di maktab rendah, isu perbezaan mazhab sering muncul apabila kami berbincang hal-ehwal politik yang pada masa itu. Guru Kertas Am ( General Paper ) saya pernah mengajukan soalan ini – “Berapa banyakkah aliran yang ada dalam Islam?” Saya amat berbangga untuk menjawab soalan ini walaupun identiti saya sebagai seorang Syiah pada masa itu masih tersembunyi dari pengetahuan orang lain. Saya juga mula berhadapan dengan beberapa stereotaip dominan yang berkaitan dengan mazhab Syiah – iaitu mereka sesat dan sudah terkeluar dari Islam. Apa yang menarik bagi saya ialah walaupun saya berasa sedih apabila berhadapan dengan stereotaip-stereotaip itu, ia bukan perkara yang mengejutkan. Bahkan ada juga sesetengah pengikut Syiah yang menerima dan mengakui sentimen-sentimen negatif sedemikian, seolah-olah cemuhan dan kata-kata hina itu sebahagian daripada kepercayaan Syiah.
Semakin usia saya meningkat, stereotaip-stereotaip tersebut menjadi lebih ketara. Seorang penceramah Syiah terkenal yang bernama Hajj Hassanain Rajabali telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di NUS. Bagi saya, ceramah yang diberikan itu berkenaan topik yang universal dan tidak terkait dengan mana-mana mazhab pun dalam Islam. Walau bagaimanapun, ternyatalah ada rasa cemas dan sangsi di kalangan mahasiswa tentang ceramah itu. Saya juga diberikan amaran daripada seorang mahasiswa yang tidak mengetahui akan identiti Syiah saya supaya jangan menghadiri ceramah itu kerana saya mungkin boleh terpengaruh secara negatif daripada penceramahnya. Sewaktu saya bergaul dengan mahasiswa-mahasiswa Muslim di universiti, pengalaman saya dalam berasimilasi dengan mereka membuat saya berasa cemas. Mungkin saya tidak banyak mengasimilasi semasa zaman remaja saya, tetapi di universiti saya sering mengikuti solat berjemaah, majlis iftar dan ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam NUS. Melalui program-program ini, saya menjadi lebih sedar tentang identiti saya sebagai seorang minoriti Syiah. Ketika saya bersembahyang dengan meletakkan tangan di bawah, atau ketika saya membuat alasan untuk berbuka puasa lebih lambat sedikit selepas azan, saya sering tertanya-tanya dengan rasa bimbang sekiranya saya kelihatan ganjil di kalangan teman-teman Sunni.
Walaupun ia merupakan sebuah kebimbangan pada awalnya, lama-kelamaan, kewujudan bersama dan asimilasi menjadi mudah bagi saya. Maklumlah, tiada apa tentang diri saya yang mencerminkan dengan jelas identiti Syiah saya itu. Bukannya saya memakai chador/cadar seperti wanita Iran dan saya pun tidak membawa batu turbah itu ke mana-mana. Saya adalah seorang wanita Melayu Islam di Singapura pada dasarnya, yang lebih kurang menyerupai dan berpakaian seperti yang lain. Saya pasti bahawa saya telah berasimilasi dengan baik sehinggakan saya sendiri mendapati diri saya menerima penghinaan terhadap umat Syiah, seolah-olah kebanyakan umat Islam di Singapura itu mengikut mazhab Sunni. Tanggapan sama-rata sedemikian membuat saya merasa seperti orang s py dari umat Syiah.
Ketika berusia 23 tahun, setelah saya mengalami sebuah krisis eksistensi (existential crisis) , saya membuat keputusan untuk berkongsi dengan beberapa orang teman rapat saya tentang kepercayaan Syiah saya. Sewaktu membuat perkongsian ini, saya ditanyakan kembali tentang mazhab apa yang mereka ikuti. Mereka, yang biasanya mengikut mazhab Sunni Syafii, sendiri tidak tahu akan fahaman masing-masing. Ini membuktikan pandangan saya bahawa umat Islam di sini memandang Islam sebagai sebuah agama yang monolitik, atau dipukul sama-rata sahaja. Keputusan untuk memberitahu mereka itu sangat membebaskan dan merupakan titik perubahan yang paling penting dalam kehidupan saya. Keimanan, identiti dan kerohanian merupakan aspek-aspek yang paling penting dan asas bagi diri saya. Saya memutuskan bahawa selagi saya menyembunyikan tentang kepercayaan saya, selagi itulah saya akan menghakis jati diri saya.
Justeru, saya memulakan perjalanan untuk mengenali balik diri saya, agama dan identiti saya. Saya mempunyai banyak persoalan mengenai keimanan saya, pertamanya sebagai seorang Muslim dan kemudiannya sebagai seorang Syiah. Fikiran saya berkecamuk dengan persoalan-persoalan tentang peristiwa-peristiwa dalam sejarah Islam sebelum dan sesudah kewafatan Rasulullah, ke personaliti sejarah terutamanya keluarga Rasulullah dan para sahabatnya, serta persoalan pemisahan agama dari politik dan budaya. Saya mencari dan membaca buku-buku tentang perbezaan antara mazhab Syiah dan Sunni, dan menyelidiki tentang isu-isu yang kontroversial. Saya mengajukan pelbagai soalan kepada ibu bapa saya dan orang-orang yang arif dalam agama. Saya membaca lagi tentang tragedi Karbala dan peristiwa Ghadeer Khum dan cuba memahami makna di sebalik amalan-amalan yang dilakukan dalam tradisi Syiah. Ini mungkin sebuah pengalaman yang mengelirukan, tetapi melalui pemeriksaan semula tradisi saya sendiri dan perbandingannya dengan tradisi Sunni, saya diberikan perspektif yang lebih luas yang memantapkan kepercayaan saya sebagai seorang Syiah. Walaupun pada mulanya ia kelihatan seperti kekeliruan, proses ini akhirnya membuat saya mencintai kepelbagaian yang ada dalam agama Islam.
Sejak itu, walaupun ia mungkin agak sukar dan mengelirukan, saya benar-benar percaya dan memahami bahawa adanya kebaikan dalam menjadi seorang minoriti. Tentu sekali ada banyak pengalaman sebagai minoriti yang tidak semestinya positif – peminggiran, diskriminasi, prejudis dan kurang didengari dan difahami oleh orang lain. Walau bagaimanapun, status sebagai minoriti itu seharusnya mendorong seseorang untuk terus menimba ilmu dan mendalamkan pemahaman, terutamanya apabila seseorang minoriti itu sering tidak difahami dan terpaksa berdepan dengan pelbagai pertanyaan, khabar angin, tuduhan dan label-label yang negatif. Ini akan menjadi sebuah kekuatan bagi seseorang minoriti itu sekiranya dia berdepan dengan perbezaan dan kepelbagaian secara konstruktif, malah mampu melawan prejudis-prejudis tersebut.
Dengan menjadi telus dan terbuka tentang kepercayaan Syiah saya, saya juga telah berpeluang untuk menjalinkan persahabatan baru dan mengenali individu-individu yang ingin mengetahui lebih banyak tentang mazhab Syiah dan kepelbagaian dalam Islam. Melalui perkongsian dan penglibatan saya, saya juga membantu untuk meningkatkan kesedaran kepada mereka yang tidak menyedari tentang sektarianisme dalam Islam. Saya menyedari bahawa sekiranya saya kurang berkecimpung dalam masyarakat, ini merupakan ketidakadilan terhadap semangat kepelbagaian yang selama ini wujud dalam tradisi agama Islam. Penyebaran stereotaip boleh disebabkan daripada kedua-dua pihak – daripada mereka yang menyebarkannya, dan juga mereka yang tidak mencabarnya atau memperbetulkannya apabila perlu. Sikap eksklusif dan keterasingan dalam komuniti juga merupakan faktor-faktor utama terjadinya fenomena tersebut, oleh kerana idea-idea akan kekal statik dan tidak berubah. Ini malah menghambat kemajuan dan membuat keretakan yang sudah wujud dalam masyarakat menjadi lebih ketara.
Pengalaman saya berdialog dengan orang-orang yang berbeza fahaman mengajar saya bahawa kita boleh bertindak secara positif dalam isu kepelbagaian. Ia merupakan sebuah kekuatan apabila kita mencari tali perhubungan yang mengeratkan kita untuk membina sebuah masyarakat yang inklusif. Perjalanan hidup memberikan saya banyak pengalaman manis apabila menyaksikan keikhlasan teman-teman dari berbagai latar belakang saling mempelajari antara satu sama lain. Pemahaman yang mendalam hanya dapat dicapai dengan adanya sikap hormat-menghormati dan terbuka.
Di samping perbezaan kita yang menentukan keunikan diri kita, saya berharap kita tidak akan lupa bahawa kita semua adalah manusia yang mempunyai berbagai aspirasi dan cita-cita, dan menginginkan perkara yang sama – kebebasan dalam kewujudan kita. Salah sebuah nukilan kegemaran saya yang disebutkan oleh Imam Ali (a.s.) benar-benar mencerminkan ini dengan indah – “Manusia merangkumi dua jenis. Mereka sama ada saudara-saudara anda dalam keimanan, atau saudara-saudara anda dalam kemanusiaan.” Pesanan ini telah membimbing saya selama ini bahawa tanpa mengira sesiapa yang saya temui, mereka sama juga seperti saya. Saya berharap untuk menyebarkan mesej ini, terutama sekali dalam keadaan masyarakat dan politik hari ini yang didorong oleh pemikiran absolutis dan ekstremis. Terdapat spektrum yang berwarna-warni dalam agama Islam dan kita harus bergerak seiring dengan kepelbagaian, meyakininya dan justeru meraih manfaat daripadanya.
__
Seorang profesional dalam perkhidmatan sosial, Sukayna A. menganggap dirinya sebagai seorang penimba ilmu tentang kehidupan. Dia minat membaca tentang hal-hal berkenaan dengan agama dan masyarakat, kerohanian, isu-isu sosial dan psikologi. Dia berharap untuk memupuk semangat keterbukaan terhadap kepelbagaian dalam masyarakat, terutama terhadap golongan minoriti dan terpinggir.
Ilustrasi oleh Wan Xiang Lee.